JOHOR BAHRU: Sekurang-kurangnya seorang pengguna jalan raya dilaporkan maut dalam kemalangan melibatkan tujuh buah kenderaan yang berlaku di Kilometer 26 Lebuhraya Pasir Gudang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 5.45 petang tadi.
Menurut beliau, pihak berkuasa masih mengenal pasti mangsa yang maut dan operasi masih berjalan.
“Kemalangan tersebut melibatkan tujuh buah kenderaan terdiri daripada tiga lori, tiga motosikal dan sebuah kereta.
“Kemalangan itu telah menyebabkan kesesakan jalan raya di lebuh raya berkenaan khususnya dari Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seri Alam masih sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan lalulintas serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily