JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri warga Singapura berdepan detik cemas selepas kereta mewah jenis BMW dinaiki mereka terlibat dalam kebakaran di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 8.15 malam itu terjadi berhampiran kaunter laluan masuk ke Singapura.
Menurutnya, pasangan suami isteri yang berusia 32 dan 31 tahun itu bagaimanapun sempat menyelamatkan diri selepas menyedari kenderaan itu terbakar.
“Pihak pengurusan BSI yang dibantu anggota polis, polis bantuan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan juga Jabatan Imigresen Johor bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.
“Mereka menggunakan peralatan memadam api sebelum kebakaran berjaya dikawal daripada merebak dengan api padam sepenuhnya pada pukul 8.35 malam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam tular dalam media sosial sebuah rakaman video memaparkan kejadian itu yang mengakibatkan aliran trafik di kawasan berkenaan sesak seketika.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba Kanan II, Saiful Nizam Mohamad memberitahu, seramai 15 anggota beserta tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Apabila sampai, kebakaran sudah berjaya dikawal dengan kereta berkenaan terbakar 60 peratus. Anggota bomba kemudian membuat pemantauan di kawasan sekitar.
Tambah Saiful Nizam, punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan sebelum operasi ditamatkan pada pukul 9.20 malam.
Penggerak Daily