JOHOR BAHRU: Pergelangan tangan seorang lelaki hancur selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Pasir Gudang berhampiran Taman Perling di sini, malam kelmarin.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Penguasa Bomba Kanan II, Nazaruddin Ahmad Zainudin berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada pukul 11.50 malam.
Sehubungan itu katanya tiga buah jentera membabitkan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan itu melibatkan kereta Peroda Viva dipandu seorang pemuda berbangsa Kadazan yang dikenali sebagai Calvin, 23, dan seorang lelaki memandu Perodua MyVi, Sam Kah Lok, 21.
“Nahas itu mengakibatkan Perodua Viva remuk teruk pada bahagian depan manakala Perodua Myvi terbalik. Kedua-dua pemandu tersebut dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah beliau, Calvin mengalami kecederaan parah pada bahagian siku hingga pergelangan tangannya hancur manakala Kah Lok terselamat.
“Mangsa berkemungkinan akan dipotong tangan kirinya kerana tangan tersebut tidak dapat diselamatkan lagi,” katanya.
Tambah beliau, mangsa yang cedera parah diberikan rawatan awal oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan menaiki ambulan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Operasi menyelamat mangsa ditamatkan pada pukul 12.56 tengah malam,” jelasnya.
Penggerak Daily