PASIR GUDANG: Anak-anak mangsa kemalangan maut di Lebuhraya Pasir Gudang semalam masih belum dimaklumkan berhubung kejadian yang menimpa ibu mereka, Nurulain Md. Rasol, 27.
Ibu mangsa, Esah Buang, 63, berkata, dia memberi alasan kepada cucunya bahawa ibu mereka sedang sakit dan mendapatkan rawatan di hospital.
Menurutnya, dia berbuat demikian kerana tidak sanggup memberitahu cucunya bahawa ibu mereka sudah meninggal dunia.
“Sejak kemalangan yang meragut nyawa arwah Nurulain, anak bongsunya sering bertanya bila ibu akan pulang ke rumah.
“Kami memberi alasan ibunya sedang sakit dan mengambil ubat di hospital dan akan balik selepas sembuh daripada sakit,” katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri di rumahnya, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, Nurulain, terjatuh selepas motosikal diboncengnya melanggar lubang mengakibatkannya mengalami kecederaan parah di muka dan kepala sebelum disahkan maut di lokasi kejadian.
Arwah yang merupakan seorang ibu tunggal meninggalkan tiga cahaya mata iaitu Siti Aishah Abdullah, 10, Muhammad Rayyan Rafiuddin, 8, dan
Muhammad Firdaus Mikail, 3, yang kini dijaga Esah dan suami, Md. Rasol Jali, 71.
Menurut Esah lagi, ketika kemalangan arwah dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Sentosa di sini selepas bertemu rakan.
“Makcik tetap akan menjaga tiga anak yang ditinggalkan Nurulain kerana tidak sanggup berpisah dengan mereka kerana kami telah menjaga mereka sejak kecil lagi,” tambahnya.
Sementara itu, Md. Rasol pula berkata, walaupun dia tidak lagi bekerja namun mereka sekeluarga masih mampu menjaga dan membesarkan tiga beradik berkenaan.
“Mereka akan tinggal bersama kami dan anak-anak yang lain,” katanya sambil memberitahu bekas suami Nurulain sudah berkahwin lain dan memiliki kehidupan sendiri.
Dalam lawatan berkenaan, Mohd. Solihan turut menyampaikan sumbangan daripada Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd iaitu syarikat konsesi yang menyelenggara jalan persekutuan dan TETO Engineering Sdn. Bhd. yang menyelenggara jalan negeri.
Penggerak Daily