JOHOR BAHRU: Tiga rakan maut selepas kenderaan jenis Toyota Vellfire dinaiki mereka terbabas ke dalam parit sedalam dua meter di kawasan Danga Bay, di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan I, Haizrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.20 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat tiga mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita telah lemas setelah terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.
“Anggota kemudian bertindak mengeluarkan mangsa daripada kenderaan itu dan membawa mereka naik menggunakan tali dan ‘stretcher’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Haizrul, mangsa lelaki berusia 31 tahun, manakala dua wanita berusia 35 dan 28 tahun masing-masing.
“Wanita berusia 35 tahun berasal dari Johor, manakala dua lagi mangsa berasal dari Melaka.
“Kesemua mereka disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Haizrul turut memberitahu operasi itu ditamatkan pada pukul 8.40 pagi.
Penggerak Daily