KULAI: Enam sekeluarga yang pulang ke kampung dari Senawang, Negeri Sembilan berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam sebuah gaung sedalam 30 meter, di kilometer 28.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini malam kelmarin.
Akibat kejadian tersebut, tiga daripada mangsa cedera parah manakala tiga yang lain turut tercedera.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Pegawai Kanan Bomba II, Wan Mohd. Azrul Wan Mahamad Shaf’ii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.53 malam.
Katanya, sehubungan itu seramai lapan anggota beserta dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki enam orang telah terbabas ke dalam gaung sedalam 30 kaki.
“Tiga mangsa berada dalam keadaan parah dan didapati di bawah gaung telah dikeluarkan menggunakan ‘stretcher’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa dikenalpasti sebagai Syaidi Mohd. Nor, 48 dan Azlina Nazarudin, 45, serta dua perempuan dewasa dan dua kanak-kanak lelaki lain yang mana maklumat mereka tidak diperoleh,” ujarnya.
Operasi menyelamat itu kemudiannya ditamatkan pada pukul 11.57 malam.
Penggerak Daily