JOHOR BAHRU: Sebuah lori treler yang terbabas sehingga memasuki lorong bertentangan di Lebuhraya Pasir Gudang di sini telah merempuh 10 buah kenderaan lain, petang tadi.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 4.07 petang.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Noor Azhan Ahmad berkata, kemalangan itu melibatkan tiga buah lori dan lapan buah kereta.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan melibatkan 11 buah kenderaan. Kesemua mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum anggota tiba di lokasi.
“Semua mangsa kemudiannya telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Noor Azhan, anggota kemudian bertindak membuat kerja-kerja pembersihan jalan daripada tumpahan minyak menggunakan habuk kayu.
“Operasi itu dijalankan seramai 19 anggota beserta empat buah jentera,” ujarnya sebelum memberitahunya operasi ditamatkan selepas memastikan semua keadaan selamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat turut mengesahkan kemalangan tersebut tidak mengakibatkan sebarang kehilangan nyawa.
Penggerak Daily