JOHOR BAHRU: Seorang warga emas maut akibat dirempuh sebuah lori selepas terjatuh daripada motosikal yang ditunggangnya kerana bergesel dengan sebuah kenderaan di Jalan Pesisiran Perling, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 7.30 pagi.
Menurut beliau, mangsa yang berusia 63 tahun itu dipercayai sedang dalam perjalanan ke tempat kerja sebagai seorang pengawal keselamatan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi menyebabkan mangsa terjatuh.
“Mangsa kemudiannya dilanggar sebuah van berwarna putih yang bertindak melarikan diri selepas kejadian tersebut dan tidak tampil bagi membantu siasatan sehingga kini.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Rupiah, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk bedah siasat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Najwa Abd. Latiff di talian 013-4144997.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.