JOHOR BAHRU: Johor merekodkan peningkatan bagi penyakit Kaki Tangan dan Mulut (HFMD) sebanyak 6.8 kali ganda tahun ini berbanding tempoh sama, tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, statistik yang direkodkan sehingga Minggu Epid 18 adalah 640 kes, berbanding 94 kes pada tempoh yang sama.
Menurut beliau, peningkatan itu telah dijangkakan ekoran kelonggaran pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang juga selari dengan peningkatan kes di peringkat nasional.
“Walaubagaimanapun, situasi masih terkawal memandangkan bilangan ini adalah rendah berbanding situasi pra Covid-19, iaitu 1,015 kes pada tempoh yang sama bagi tahun 2019.
“Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 6 tahun adalah sebanyak 614 kes iaitu 96 peratus, diikuti mereka yang berusia 7 hingga 12 tahun iaitu 22 kes (3 peratus) manakala selebihnya berusia lebih daripada 13 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, dalam Minggu Epid 18, 24 kes HFMD dilaporkan dengan daerah tertinggi Johor Bahru sebanyak 10 kes, Kluang (6 kes) manakala Kota Tinggi, Kulai dan Segamat dengan masing-masing 2 kes.
“Majoriti lokasi penularan berlaku di taska, tadika, rumah persendirian dan pusat jagaan kanak-kanak.
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya penjaga mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan, antaranya dengan membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak,” jelasnya.
Penggerak Daily