JOHOR BAHRU: Rakyat Johor tidak perlu bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan berlaku di Singapura walaupun terdapat penularan varian baharu di republik berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, peningkatan kes Covid-19 yang berlaku di negeri ini masih terkawal.
“Di Johor, memang terdapat peningkatan kes Covid-19 sejak tiga minggu lalu, namun jumlah itu bukanlah satu peningkatan yang ketara.
“Jadi walaupun berlaku peningkatan kes di Singapura, kita masih kekal dengan prosesor operasi standard (SOP) yang diamalkan sebelum ini, khususnya buat golongan berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Wesak di Bandar Uda Utama, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.
Menurut beliau, Johor merekodkan sebanyak 95 kes Covid-19 pada minggu epid ke-18 sebelum meningkat kepada 138 kes pada minggu epid ke-19 dan kemudian 154 kes pada minggu epid ke-20.
Tambah Tian Soon, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya ada keperluan mengetatkan sebarang SOP berhubung perkara tersebut.
“Kita akan bincang dengan KKM sekiranya ada keperluan dikeluarkan SOP baharu. Tetapi pada waktu ini SOP sedia ada masih terpakai.
“Sementara itu, Johor juga tidak berdepan masalah kekurangan bekalan alat saringan Covid-19,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM sedang memantau trajektori gelombang peningkatan dua kali ganda kes Covid-19 yang dilaporkan di Singapura, baru-baru ini.
Penggerak Daily