JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri berharap kekurangan seramai 2,800 petugas kesihatan di negeri ini akan dapat ditangani secara berfasa demi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, itu antara masalah legasi yang mahu diselesaikan dalam tempoh pentadbirannya, selain kesesakan di pintu sempadan negara dan juga kerosakan jalan seluruh negeri.
Katanya, kekurangan petugas kesihatan pelbagai jabatan termasuk 680 jururawat telah menyebabkan berlakunya kesesakan di hospital dan klinik kesihatan apabila jumlah pesakit terlalu ramai.
“Sebagai contoh di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang merupakan hospital awam kedua tersibuk di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur, terdapat kekurangan seramai 200 doktor.
“Ini antara isu yang kita bangkitkan dalam pertemuan dengan kerajaan pusat, dimana kita berharap kekurangan tenaga kerja itu dapat diisi secara berfasa, ini kerana kita juga faham isu sama turut dihadapi di hospital awam dan klinik kesihatan lain.
“HSA ini satu hospital awam yang penting kerana ia bukan sahaja menerima pesakit dari seluruh Johor, tetapi juga negeri berhampiran iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan juga Pahang kerana kepakaran yang ditempatkan di sini (HSA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut meminta Kementerian Kesihatan (KKM) membuka dua wad kosong di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk kegunaan pesakit dan tidak dibiarkan begitu sahaja.
“Dalam lawatan saya ke HSI semalam, saya dapati wad pediatrik dan wad kecemasan penuh dengan pesakit sehingga menyebabkan tempoh menunggu mendapatkan rawatan agak lama, antara 5 hingga 6 jam sedangkan dalam masa sama ada dua wad kosong di tingkat 9 dan tingkat 10.
“Kedua-dua wad itu mampu menempatkan sehingga 108 jumlah katil, jadi saya berharap pihak kementerian dan juga hospital dapat membuka wad berkenaan untuk kegunaan dan kesejahteraan pesakit di sana,” ujarnya.
Dalam majlis berkenaan, Onn Hafiz turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM200,000 untuk dimanfaatkan seramai lebih 8,000 jururawat seluruh negeri.
Sementara itu, Tian Soon pula memberitahu, pihaknya akan membentangkan kertas kerja berhubung laporan kekurangan petugas kesihatan negeri ini kepada KKM minggu depan.
“Berdasarkan maklum balas yang kami terima, KKM sangat positif dan mereka akan cuba bantu Johor khususnya kedua-dua hospital utama (HSA dan HSI) untuk tambah staf perubatan dari segi doktor dan jururawat.
“Manakala bagi dua wad kosong di HSI, KKM maklumkan akan bantu untuk hantar doktor dan jururawat secukupnya bagi memastikan dua wad itu dapat beroperasi juga,” jelasnya.
Penggerak Daily