JOHOR BAHRU: Persatuan Doktor-Doktor Johor (PDDJ) memohon kerajaan khususnya menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah penjawatan bagi jawatan berkaitan penjagaan kesihatan di negara ini.
Pengasas dan Presiden PDDJ, Dr. Ng Kim Fong berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana ketika ini majoriti lantikan baharu berstatus kontrak, iaitu selama dua tahun.
Menurutnya, ketika ini terdapat keperluan untuk lantikan jawatan tetap yang mana akan memberi manfaat kepada sektor kesihatan di negara ini bagi jangka masa panjang.
“Ketika ini, jawatan seperti doktor, jururawat dan ahli farmasi berdasarkan kontrak selama dua tahun dan jika terdapat keperluan, akan disambung lagi untuk dua tahun.
“Jadi saya berharap kerajaan dapat menambah lagi jawatan tetap. Ini akan membantu mereka berkhidmat dengan lebih berdedikasi kerana tidak perlu berasa bimbang dengan perjalanan karier mereka,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Kim Fong turut memberitahu, ketika ini dianggarkan seramai lebih 3,000 petugas kesihatan khususnya doktor muda menamatkan pengajian mereka, melibatkan pelajar tempatan dan antarabangsa.
Tambah beliau, lantikan doktor muda ke jawatan tetap juga akan membolehkan mereka berusaha untuk menjadi doktor pakar sekaligus menyumbang kepada masyarakat dalam kapasiti lebih baik.
“Sekiranya doktor muda ini diberikan jawatan tetap, mereka bukan sahaja boleh mendapat kenaikan pangkat, tetapi lebih utama adalah berusaha untuk menjadi doktor pakar,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memuji komitmen ditunjukkan petugas kesihatan muda seperti doktor dan jururawat yang memberi khidmat kepada masyarakat di kawasan terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Doktor muda tempatan amat bersemangat, mereka sanggup menawarkan diri untuk berkhidmat di di kawasan terjejas.
“Berilah penghargaan kepada mereka dan rakan-rakan yang lain dengan menawarkan jawatan tetap sebagai jaminan masa depan,” tambahnya.
Penggerak Daily