JOHOR BAHRU: Sukan futsal dahulunya biasa dikaitkan dengan golongan lelaki, namun kini sukan berkenaan semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita, khususnya generasi baharu.
Penganjur Perlawanan Futsal Wanita Terbuka 2022, Putri Nurshila Samad berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan kejohanan itu bagi mempromosi sukan tersebut dan juga amalan gaya hidup sihat.
Menurutnya, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan termasuklah penglibatan pasukan dari luar Johor.
“Program selama sehari itu membabitkan sebanyak 19 pasukan bukan sahaja dari seluruh Johor, tetapi juga pasukan dari Melaka, Kuala Lumpur dan Sarawak.
“Tujuan penganjurannya adalah untuk membangkitkan kembali semangat sukan futsal dalam kalangan wanita setiap peringkat umur setelah beberapa tahun tidak dapat beraksi kerana pandemik,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.
Kejohanan yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kempas Baru, di sini itu menyaksikan pasukan Kamil FC daripada Kuala Lumpur menewaskan Kyzen Conquer daripada Johor Bahru dengan mata 2-1.
Penggerak Daily