JOHOR BAHRU: Beberapa laluan penerbangan terus dari negeri ini ke beberapa negara antarabangsa sedang dibincang bagi meningkatkan kemasukan pelancong ke Johor, khususnya sempena Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ 2026).
Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, antara laluan penerbangan terus itu adalah Daegu, Korea Selatan; Taichung, Taiwan dan Kunming, China.
Katanya, perkara tersebut sedang bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).
“Semua cadangan penerbangan terus ini akan dibentangkan kepada kerajaan negeri setelah semua maklumat diperlukan diperoleh.
“Usaha ini giat dilaksana bagi menarik semula pelancong negara terlibat terutamanya Daegu dan juga bandar berdekatan seperti Busan di Korea Selatan.
“Johor memang merupakan antara destinasi pilihan pelancong Korea Selatan khususnya dari dua bandar raya tersebut sebelum pandemik Covid-19 melanda,” katanya kepada pemberita.
Sharil Nizam turut memberitahu, penerbangan terus dari negara tersebut adalah melalui syarikat penerbangan Jin Air, namun perkhidmatan itu telah dihentikan.
“Disebabkan itu, kita sedang berusaha untuk menarik kembali kemasukan pelancong Korea Selatan ke negeri ini memandangkan terdapat komuniti masyarakat dari negara itu di sini.
“Ini merupakan antara inisiatif yang kita ambil dalam usaha meningkatkan kemasukan pelancong ke negeri ini, bukan sahaja sempena TMJ 2026 tetapi juga selepas itu,” jelasnya.
Untuk rekod, LTAS merupakan antara lapangan terbang antarabangsa utama di negeri ini dengan 17 destinasi penerbangan yang menghubungkan bandar-bandar domestik dan lima bandar antarabangsa iaitu Jakarta, Surabaya, Bangkok, Ho Chi Minh City dan Canton.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan memberitahu pihaknya menyasarkan kehadiran seramai lebih 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa sempena TMJ 2026.
Penggerak Daily