Oleh: Sofia Ali
Macam-macam tips di media sosial. Tips nak kurus ada, tips nak gemuk pon ada. Jadi tak jadi belakang cerita, yang penting tips sudah dibaca.
Sempena bulan kemerdekaan, ada satu tips penting. Tips menghormati bendera kita, Jalur Gemilang. Tips yang dikeluarkan Jabatan Penerangan ini membantu kita untuk tahu, apa boleh dan apa yang tak boleh dilakukan dengan Jalur Gemilang.
Pertama, jangan letak bendera atas tanah, termasuklah jangan biarkan bendera meleret ke tanah ketika menurunkannya dari tiang.
Kemudian, jangan menggunakan bendera sebagai alat meja atau penutup sesuatu kecuali sebagai tanda penghormatan.
Bendera juga tidak boleh digunakan macam sapu tangan, untuk mengelap tangan apabila tangan kotor.
Semasa bendera dinaikkan ketika lagu Negaraku dinyanyikan, jangan bercakap. Kadang-kadang, ketika bendera dinaikkan macam-macam idea nak bual dengan kawan. Jangan, tahan nafsu ‘membawang’ sekejap.
Tips terakhir, tanda hormat bendera kita, gantunglah bendera di rumah, kedai atau kenderaan pada Hari Kebangsaan.
Dengan tips ini, moga kita lebih sedar akan cara menghormati salah satu identiti negara ini. Harapnya tiada lagi kes pasang bendera terbalik macam Malaysia baru merdeka semalam. Bersama kita semarakkan semangat patriotisme.
PenggerakDaily