JOHOR BAHRU: Kerajaan persekutuan telah meluluskan pembinaan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di negeri ini, masing-masing bertempat di Larkin, di sini dan Kulai.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kedua-dua projek itu dijangka melibatkan sebanyak 600 unit kediaman.
Menurut beliau, proses pemilikan tanah sedang dijalankan kerajaan negeri dan pembinaan dijangka akan dimulakan tahun depan.
“Sebelum ini, Johor ada membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan untuk membina beberapa unit perumahan PPR, dan kini dua telah diluluskan iaitu di Larkin dan Kulai.
“Kos pembinaan masih belum diketahui namun kebiasaannya bagi satu projek PPR sebanyak 300 unit rumah, ia memakan belanja lebih RM100 juta,” katanya selepas melawat Flat Awam di Kangkar Pulai, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad.
Sementara itu, Mohd. Jafni turut memberitahu, sebanyak empat kawasan perumahan flat awam telah menjalani proses pemulihan dan pemeliharaan demi keselesaan dan kesejahteraan penduduknya.
“Setakat ini, empat kawasan perumahan flat awam iaitu di EDL, Saujana, Taman Ungku Tun Aminah dan juga di Kangkar Pulai di sini telah dimulakan kerja-kerja pembaikan.
“Antara kerja yang dibuat termasuklah penjagaan kebersihan, mengutip sampah sarap, mengecat semula bangunan, pembaikan tempat letak kenderaan, perpaipan dan pembersihan longkang.
“Kerja-kerja ini akan diteruskan secara berfasa kerana ia melibatkan kos yang agak besar. Sebagai contoh, kerja mengecat di flat awam Kangkar Pulai di sini melibatkan belanja RM6 juta, manakala kerja-kerja di di flat awam EDL pula sebanyak RM20 juta,” jelasnya.
Sebelum ini, Mohd. Jafni memaklumkan, lebih 50 peratus daripada kesemua flat awam di negeri ini berada dalam kategori kotor dengan pelbagai masalah penyelenggaraan seperti yang dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat-flat kos rendah di negeri ini.
Baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.
Penggerak Daily