Oleh: Ahmad Roi
Ketika menulis artikel ini, tujuan saya jelas, mengharapkan anak muda seperti Saiful Bahari (SB) masuk politik dan bertanding dalam pilihanraya akan datang.
Siapa Saiful Bahari? Kenapa dia kena masuk politik?
Ceritanya begini. Saya kenal dengan sosok Saiful ini ketika bekerja di Johor pada 2018. Pertama kali kami berjumpa ketika saya ditugaskan menemubual mangsa kebakaran dalam satu insiden kebakaran rumah di Johor Bahru.
Ketika itu Saiful bersama segerombolan anak muda baru selesai menguruskan keperluan mangsa yang ditempatkan di balai raya. Itu kali pertama saya nampak Saiful. Kami tidak berbual.
Kali kedua saya bertemu Saiful dalam satu aktiviti sukarelawan edaran topeng muka dan kit kebersihan di kalangan penduduk PPR sekitar Johor Bahru. Kali kedua pertemuan baru saya tahu Saiful merupakan Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Johor Bahru.
Sebelum ini PKN agak ‘familiar’ di telinga saya kerana NGO ini agak aktif dengan aktiviti memberdayakan komuniti sekitar seluruh Johor khususnya di kawasan Johor Bahru, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Bekok.
Terbaru, saya bertemu Saiful di Kota Tinggi dalam misi bantuan mangsa banjir. Kira-kira seramai 120 anak muda digerakkan PKN Johor Bahru bagi membantu dan mengedar keperluan mangsa banjir.
Dalam era pascamoden yang sangat individualistik, menggerakkan anak muda meraikan kemudaan mereka dengan terjun ke dalam masyarakat adalah kerja gila. Tapi Saiful sudah buktikan kerja gila ini boleh dibuat.
Pada pertemuan ketiga, saya sempat berbual lama dengan Saiful. Saya gunakan kesempatan ini untuk bertanya satu soalan – soalan yang saya simpan sejak mendapat tahu Saiful merupakan pengerusi sebuah NGO Komuniti.
Saya tanya Saiful, kalau dia berupaya menggerakkan anak muda turun bersama masyarakat, kenapa tak ‘sertai politik?
“Bukan masuk politik kena pandai berpidato ke? Saiful tanya saya balik.
***
Jawapan berbentuk soalan yang diberikan Saiful buat saya fikir panjang – terutama mengenai politik semasa. Bagi saya, kalau Saiful enggan sertai politik kerana tidak handal berhujah, Saiful silap.
Bagi saya, orang macam Saiful – lah yang wajar masuk politik. Saiful tidak banyak cakap, dia banyak buat. Ada kawan beritahu, “Saiful cakap sikit-sikit”.
Tentu pembaca berasa ironi, patutnya seorang ahli politik mesti handal bercakap, mesti licik bersilat lidah lagi-lagi dalam dewan parlimen.
Tapi pembaca harus ingat, politik pidato cara Soekarno dan Hitler lama berakhir. Malahan, Indonesia tidak memerlukan 10 orang Soekarno untuk menggoncang dunia. Kata Soekarno – berikan aku 10 orang muda, akan aku goncang dunia.
Kenapa Soekarno perlukan anak muda? kerana anak muda perangainya membuat, melakukan, beraksi – muda terlalu singkat untuk dihabiskan dengan berbahas dan cakap-cakap.
Beretorik, berdegar-degar dengan mulut menjadikan politik terlalu bising, muak dan statik. Sang diktator dari Iran, Shah Pahlevi tidak akan sungkur dari kerusi kuasa kalau tidak kerana gerakan anak muda yang tersusun.
Situasi yang sama di Paris, tahun 1968. Tumbangnya rejim diktator Gaulle melalui gerakan anak muda yang tersusun dan senyap. Perubahan masyarakat tidak berlaku hanya di balik corong pembesar suara dewan ceramah.
Malahan, bukan sedikit kes handal berbahas makan diri apabila kata tidak dikota, janji gagal ditepati – tengok, apa jadi dengan tol Muar? Tak jadi apa-apa.
Pepatah Melayu, tin kosong bunyinya bising. Tentunya perangai begini menjadikan politik Malaysia lebih sakit, apatah lagi berdepan dengan COVID-19. Jadi, saya memohon agar mereka yang lebih banyak membuat dan pandai menyusun berbesar hati sertai politik.
Saya akhiri artikel ini dengan doa, moga-moga SB dan mereka seperti SB – banyak buat dari cakap – terbuka hati untuk sertai politik. Demi Malaysia lebih baik.
Amin.
PenggerakDaily