JOHOR BAHRU: Mata pelajaran Bahasa Melayu menjadi pengikat buat seorang guru berasal dari Kelantan, iaitu Wan Nor Izzaidah Wan Aziz bersama murid-muridnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Permas Jaya, di sini.
Menurut Wan Nor Izzaidah, 25, walaupun berada dalam persekitaran yang berbeza budaya dan agama, namun dia enggan berpindah ke sekolah lain untuk mengajar.
“Saya tidak ambil masa lama untuk menyesuaikan diri bagi mengajar di sekolah ini. Hal itu kerana guru besar, rakan-rakan guru serta murid si sini tidak pernah membeza-bezakan saya.
“Sebaliknya, layanan yang diberikan seolah-olah sebuah keluarga besar. Banyak kenangan manis saya di sini, lebih lagi apabila ilmu yang kita ajar difahami dan diamalkan murid-murid.
“Antara kebanggaan saya termasuklah berjaya melatih seorang murid untuk menyertai pertandingan dendangan syair Bahasa Melayu peringkat daerah, saya gembira kerana murid tersebut boleh lakukannya dengan baik,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, selain mendidik murid-murid Bahasa Melayu, dia turut berpeluang mempelajari lebih dekat budaya masyarakat India serta perayaan disambut neraka seperti Deepavali dan Ponggal.
“Saya rasa amat bertuah kerana dilahirkan di negara ini yang mana kesefahaman antara masyarakat pelbagai latar belakang dapat dicapai kerana sikap toleransi semua pihak,” ujarnya yang merupakan bekas penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam Bangi.
Sementara itu, Guru Besar SJKT Permas Jaya, K Sagilah, 58, pula memberitahu, Wan Nor Izzaidah adalah seorang guru yang amat disayangi murid-murid sekolah berkenaan.
“Sikapnya yang ceria, peramah dan mendidik dengan ikhlas boleh dirasakan semua pihak di sekolah ini. Di sini layanan diberikan sama rata terhadap semua pihak tanpa mengira latar belakang mereka.
“Sebagai contoh, jika sekolah membeli kain sari untuk guru-guru, kita tetap beli buat Wan Nor Izzaidah untuk dijadikan baju kurung. Itu yang kita lakukan semasa sambutan Hari Guru lalu, bukan sahaja dia tetapi juga dua pembantu pembantu prasekolah yang berbangsa Melayu,” ujarnya.
Penggerak Daily