JOHOR BAHRU: Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baharu berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata, pelantikan sebagai Naib Canselor ketujuh itu adalah selama tiga tahun iaitu sehingga 31 Disember 2023.
Katanya, pihaknya yakin Ahmad Fauzi dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan kecemerlangan UTM sebagai sebuah universiti penyelidikan terbaik negara.
Ahmad Fauzi, 54, ketika ini memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM sejak 15 Januari 2015.
Beliau turut diberi kepercayaan menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor menggantikan Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar bermula 1 September lalu sehingga kini.
Dalam pada itu, Ahmad Fauzi dalam satu kenyataan dikeluarkan UTM memaklumkan pihaknya berterima kasih dengan dengan kepercayaan diberi pengurusan tertinggi universiti serta seluruh warga UTM.
“Saya berharap dapat terus bekerja bersama-sama bagi menjayakan agenda universiti dan membawa UTM ke peringkat lebih tinggi sama ada dalam negara mahupun antarabangsa.
“Saya turut merakamkan terima kasih kepada Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar atas kepimpinan beliau menerajui UTM selama tujuh tahun,” ujarnya.
Ahmad Fauzi berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum dan Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selain turut berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Proses dari University of Strathclyde, Scotland.
Pencapaiannya akademiknya diiktiraf melalui sumbangan dalam bidang penyelidikan yang telah memberi impak bukan sahaja di peringkat nasional malah di peringkat antarabangsa.
Beliau telah memenangi lebih dari 130 anugerah bagi hasil penyelidikan dan pembangunan serta inovasi produk. Antaranya beliau merupakan rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Saintis Muda ASEAN, Anugerah Harta Intelek Negara dan Anugerah Inovasi Negara sebanyak dua kali.
Beliau turut berjaya merangkul The World Academy of Sciences (TWAS), Prize in Engineering Sciences for 2019 dan Anugerah Merdeka 2014 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik.
Peranan beliau sebagai pengasas dan Pengarah Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) bermula 1 Ogos 2013 sehingga 24 Jun 2018 berjaya memberi manfaat kepada komuniti setempat khususnya melalui penghasilan teknologi membrane bagi pengeluaran air bersih di lokasi terpencil atau lokasi bencana.
Melalui teknologi itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memberikan kepercayaan untuk projek pembekalan sistem rawatan air mudah alih bagi program sekolah pedalaman di bawah kementerian dengan peruntukan RM8.1 juta.
Ahmad Fauzi juga telah diiktiraf sebagai ‘Highly Cited Researcher, Malaysia’s Research Star Award’ selama tiga tahun.
Sehingga kini, beliau telah menerbitkan lebih 900 jurnal berwasit, lapan buah buku karya asli, 66 bab dalam buku selain turut menyunting 10 buah buku serta terlibat dalam penghasilan lebih 30 paten.
Penggerak Daily