JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah merekodkan kadar kebolehan pasaran graduan sebanyak 98 peratus bagi tahun 2021, tertinggi dalam negara bagi sebuah universiti awam.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 31.2 peratus menerima gaji premium iaitu RM4,000 dan ke atas.
Menurut beliau, statistik itu menunjukkan graduan universiti berkenaan ‘diburu’ pihak majikan dan industri atas kebolehan mereka.
“Kita (UTM) juga telah menerima penarafan enam bintang sebagai ’employer preferred university’ dan juga penarafan lima bintang dalam pelbagai sektor-sektor berkaitan teknologi. Ini sekaligus membuktikan kebolehan graduan-graduan kita.
“Walaupun kita tidak melihat sesuatu penarafan itu sebagai kayu ukur kejayaan universiti, namun penghargaan tersebut membantu graduan UTM mendapatkan pekerjaan selepas tamat tempoh pengajian mereka, selain turut menarik kemasukan penuntut asing.
“Sejak penubuhannya, UTM telah mengeluarkan seramai 10,626 graduan antarabangsa daripada lebih 100 buah negara,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas tamat Majlis Konvokesyen UTM Ke-66, di sini hari ini.
Tambah Ahmad Fauzi, pihaknya juga memaklumkan universiti tersebut amat menitik berat terhadap aspek kemenjadian seseorang graduan secara holistik dan tidak fokus semata-mata kepada aspek akademik semata-mata.
“Apabila graduan mendapat pekerjaan, aspek yang dinilai oleh majikan untuk peningkatan kerjaya bukan lagi pendidikan akademik, sebaliknya sahsiah, tata susila dan juga kawalan emosi mereka.
“Ini antara aspek yang ditekankan UTM terhadap graduan-graduan, sama ada yang terdiri daripada penuntut tempatan mahupun antarabangsa,” jelasnya.
Ahmad Fauzi turut memberitahu, Majlis Konvokesyen UTM Ke-66 yang berlangsung selama lima hari itu melibatkan seramai 7,934 graduan, dengan 441 daripadanya menerima doktor falsafah; 1,478 ijazah sarjana; 4,368 ijazah sarjana muda dan 703 graduan diploma.
Penggerak Daily