JOHOR BAHRU: Projek ‘Keluar Kampung’ bertujuan untuk merapatkan jurang pendidikan dan ekonomi golongan muda dari kawasan luar bandar dengan mengikuti jurusan pengurusan hotel.
Pengarah Pembangunan Perniagaan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTMSpace), Zareena Omar berkata, program itu dilaksana dengan kerjasama Akademi Bowen dan Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Johor.
Menurut beliau, fokusnya adalah menawarkan kursus Diploma Profesional dalam Pengurusan Hotel kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kawasan luar bandar.
“Program ini adalah gabungan unik antara latihan praktikal dan pembelajaran dalam talian serta fokus kepada pengalaman praktikal dalam bidang pengurusan hotel yang dinamik.
“Antara penekanan diberi adalah kebolehpasaran graduan. Mereka akan diterima kerja dengan mudah oleh ahli Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Johor, sekaligus menunjukkan ilmu dan kemahiran dipelajari adalah bernilai kepada industri.
“Projek ‘Keluar Kampung’ lebih daripada sekadar satu program pendidikan sebaliknya ia adalah komitmen kami terhadap masa depan industri hospitaliti di Malaysia,” katanya selepas majlis pelancaran projek ‘Keluar Kampung’ yang diadakan di UTMSpace, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Akademi Bowen, Chong Chin Wee dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia, Chresentia F.B Sadatal.
Sementara itu, Zareena turut memberitahu, kerjasama kesemua pihak terlibat membuktikan kepentingan simbiosis antara institusi pendidikan dan pemain industri.
“Graduan dilahirkan akan menerima pengalaman praktikal dan industri sekaligus melahirkan modal insan dengan kemahiran tinggi seperti dikehendaki pasaran kerjaya.
“Selain itu, dengan memberi tumpuan kepada lepasan SPM dari kawasan luar bandar, projek ini mampu membuka pintu kepada pendidikan berkualiti tinggi dan peluang profesional yang mungkin tidak dapat diakses golongan tersebut sebelum ini.
“Kita juga mahu merapatkan jurang pendidikan tinggi dan ekonomi antara masyarakat luar bandar dan bandar di negara ini dalam usaha mencapai negara maju dan berkemahiran tinggi pada masa depan,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily