JOHOR BAHRU: Murid dan pelajar sekolah yang bergelar atlet perlu bijak merancang gaya hidup agar pendidikan akademik secara formal tidak diketepikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, kerajaan negeri mahu mereka yang tergolong dalam kategori tersebut berjaya dalam kedua-dua bidang.
Katanya, walaupun aktif dalam bersukan, mereka tetap perlu hadir mengikuti sesi pembelajaran di sekolah masing-masing.
“Kita berharap elemen positif dalam program Karektor Murid Johor (KrMJ) seperti berakhlak mulia dan mengamalkan nilai-nilai murni yang menjadi imej dan identiti murid Johor akan diamalkan.
“Kerajaan negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan memastikan sistem pendidikan yang dilaksana dapat mengoptimumkan kemenjadian murid dalam pelbagai aspek.
“Ini bertujuan menyediakan bangsa Johor yang bernilai tinggi dan berprestasi pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah negeri Johor (MSSJ) 2023 di Kempas di sini, semalam.
Tambah Aznan, bidang sukan berupaya menjadi pelengkap kepada penyediaan modal insan terutama dalam pembentukan jati diri, perpaduan, semangat kerjasama dan pengukuhan sahsiah diri.
“Program pembangunan sukan yang dijalankan bukan sekadar pembangunan fizikal semata-mata, tetapi untuk membentuk ‘Thinking Athlete’.
“Ini adalah agar murid tersebut menjadi atlet lengkap yang pandai mengurus diri secara profesional sebelum, semasa dan selepas pertandingan,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn memenangi Anugerah Emas Putera menerusi sukan olahraga.
Pencapaian terbaik Muhammad Hazriq adalah dengan merangkul emas 110 meter acara lari berpagar dengan rekod baharu di Kejohanan MSSM 2023 dan ‘Asian School Game (ASG)’.
Penggerak Daily