JOHOR BAHRU: Seorang pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini telah menghasilkan makanan ternakan alternatif yang menjimatkan sehingga 70 peratus berbanding makanan ternakan sedia ada.
Pensyarah Kanan di Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM, Dr. Mira Panadi berkata, makanan ternakan bernama ‘MoringaPro Pellet’ itu dihasilkan daripada Moringa Oleifera atau lebih dikenali sebagai daun moringa dan daun kelor.
Menurutnya, produk itu merupakan satu inovasi yang mampu mengubah landskap industri ternakan dengan kos yang lebih jimat dan mampan.
“MoringaPro Pellet dihasilkan daripada daun moringa yang dijadikan sebagai sumber protein utama dan diperkaya dengan vitamin A, C, E, serta mineral penting seperti kalsium, zat besi, dan kalium.
“Formulasi inovatif ini menyokong kesihatan ternakan dengan hasil yang lebih baik berbanding makanan konvensional. Ia bukan sahaja kaya dengan nutrien, malah bentuk palet juga dapat mengurangkan kesan anti nutrien sekaligus menjadikannya lebih berkesan dan selamat,” katanya ketika ditemukan pemberita di UTM, di sini baru-baru ini.
Tambah Mira, MoringaPro Pellet juga menawarkan penjimatan kos bagi pembelian makanan ternakan sehingga 72 peratus dengan kos bahan mentah dianggarkan berharga kira-kira 80 hingga 90 sen sekilogram.
“Nilai itu jauh lebih rendah berbanding harga palet komersial ketika ini yang boleh mencecah harga antara RM3.50 hingga RM4.10 sekilogram.
“MoringaPro Pellet menggunakan bahan-bahan tempatan yang mesra alam, palet ini juga mengurangkan jejak karbon selain menyokong ekonomi petani-petani tempatan,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, produk tersebut telah dipatenkan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bertujuan melindungi formulasi dan proses penghasilannya, bulan lalu.
“Inovasi ini juga telah meraih pingat emas di Pameran Seni Industri dan Teknologi (INATEX) UTM pada 2 Oktober lepas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
“Produk ini pastinya dapat mengurangkan kos pembelian makanan ternakan oleh petani-petani tempatan ekoran peningkatan harga makanan ternakan terhasil dari soya, jagung dan bijirin sebelum ini,” jelasnya.
Penggerak Daily