JOHOR BAHRU: Menyedari subjek matematik kurang digemari kanak-kanak, seorang jurutera berjaya menghasilkan permainan berasaskan nombor yang pertama kali seumpamanya di negara ini.
Pengasasnya, Abdul Ahmadil Razman Abdul Majid yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam kejuruteraan awam berkata, permainan itu dihasilkan olehnya sendiri.
Menurutnya, idea menghasilkan permainan itu timbul kerana mahu membantu meningkatkan kemahiran matematik dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah dengan cara yang lebih menarik.
“Sifir adalah jantung dan nadi kepada subjek Matematik, tanpa pengetahuan tentang sifir, kanak-kanak dan murid sekolah akan merasa bosan dan benci dengan subjek Matematik.
“Namun dengan ‘Maths Board Games’ ini, mereka boleh bermain sambil belajar. Konsep permainan akan menarik minat mereka untuk menang, secara tidak langsung kanak-kanak itu akan memahirkan diri dengan sifir,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Maths Board Games mengandungi sembilan permainan berasaskan nombor di mana setiap satunya berlainan bagi melatih kemahiran kira-kira dalam diri kanak-kanak.
Abdul Ahmadil Razman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Arayyan Kids Global Holdings Sdn. Bhd. turut memberitahu, mereka yang membeli permainan ini akan turut berpeluang menyertai kumpulan Telegram yang dapat melengkapkan lagi pembelaan matematik mereka.
Katanya, kumpulan Telegram berkenaan mengandungi 30,000 contoh soalan Matematik, nota padat asas nombor sehingga Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), video teknik pantas mengira dan banyak lagi.
“Kami telah mendapat kebenaran Kementerian Pendidikan untuk menjalankan Program Perkongsian Ilmu Sifir dan Matematik secara percuma di 3,087 buah sekolah rendah sekitar Johor, Melaka, Selangor, Pahang, Pulau Pinang, dan Perlis pada tahun ini.
“Namun program berkenaan terpaksa ditunda disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Disebabkan itu, saya mengambil inisiatif menghasilkan permainan nombor matematik ini bagi membantu meningkatkan lagi kemahiran Matematik kanak-kanak di negara ini,” ujarnya.
Tambah beliau, mereka dapat menggunakan masa ketika berada di rumah dengan melakukan yang berfaedah iaitu dengan cara bermain sambil belajar.