JOHOR BAHRU: Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) telah melahirkan seramai 35,414 graduan bidang teknikal dan vokasional (TVET) sepanjang 25 tahun ia beroperasi bermula tahun 1998.
Pengarah PIS, Noor Aidi Nadzri berkata, sejak ditubuhkan, PIS terus melahirkan graduan berkualiti sehingga mencapai status Politeknik Premier pada tahun 2011.
Menurut beliau, pada tahun sama PIS turut menjalani penjenamaan semula daripada nama lamanya iaitu Politeknik Johor Bahru.
“Sehingga kini, PIS berjaya mengekalkan tahap kebolehpasaran graduan melebihi 90 peratus sejak tahun 2020, dengan tahap tertinggi dicapai adalah pada tahun 2022 iaitu kebolehpasaran graduan sebanyak 98 peratus.
“Selain pelbagai pencapaian akademik, tenaga pengajar serta graduan PIS turut cemerlang dalam bidang sukan dengan beberapa anugerah diraih antaranya pingat emas ‘World Invention Creativity Olympic 2022 Seoul, Korea’; pingat emas Pertandingan Fira Simulcup 2022 Tehran, Iran serta pingat perak Temasya Sukan Deaflympics Ke-24, 2022, Caxias Do Sul, Brazil.
“Di peringkat kebangsaan pula, graduan PIS turut merangkul 77 emas, lima perak dan dua gangsa, tiga rekod kebangsaan, anugerah olahragawan SUKMA 2022 dan Juara Keseluruhan acara kanu,” katanya ketika berucap pada Najlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PIS, di Pasir Gudang, di sini semalam.
Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd. Zahari Ismail.
Tambah Noor Aidi, PIS kekal komited untuk melahirkan lebih ramai graduan TVET berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri sekaligus turut menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan.
“Sehubungan itu, golongan muda disaran untuk melihat bidang TVET sebagai salah satu cabang kerjaya yang membolehkan mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bidang akademik lain,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Zahari pula memberitahu, tempoh 25 tahun merupakan satu tempoh yang boleh mematangkan sesebuah institusi sekaligus menjadi penanda aras untuk kejayaan lebih gemilang pada masa depan.
“Politeknik serta Kolej Komuniti akan terus menjadi platform pendidikan yang bersifat menyeluruh dan menyediakan pendidikan untuk semua,” jelasnya.
Penggerak Daily