JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dilantik semula sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkuat kuasa 1 Jun tahun ini hingga 31 Mei 2031.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikongsikan UTM menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Menurut kenyataan itu, pengurusan tertinggi universiti itu amat yakin dengan pengalaman dan hikmah Raja Permaisuri Agong dalam memacu agenda pendidikan tinggi negara demi manfaat rakyat dan sentiasa komited dibawah naungan baginda.
“Seluruh warga UTM merafak sembah, menjunjung kasih serta menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan semula Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkuat kuasa 1 Jun lalu hingga 31 Mei 2031,” jelas kenyataan itu.
Raja Zarith Sofiah pertama kali dilantik menjadi Canselor UTM pada 1 Jun 2010 dan telah memberi pelbagai sumbangan bermakna kepada universiti awam berkenaan sama ada di peringkat dalam dan juga luar negara.
Antara sumbangan baginda termasuk mengilhamkan Projek Bangsa Johor Bahagia (BJB) yang bertujuan membantu komuniti kurang berkemampuan dengan pembabitan penyelidik dan pelajar UTM.
Baginda juga amat prihatin terhadap isu kebajikan pelajar dan telah melancarkan Tabung Canselor ‘Because We Care’ bagi membantu mahasiswa B40 dalam pembelajaran.
Raja Permaisuri Agong turut menaungi Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilisation (RZS-CASIS). Manakala sejak 2022 pula, baginda telah mengilhamkan siri ‘Royal Intellectual Forum’ yang dianjurkan setahun sekali di UTM oleh Akademi Tamadun Islam (ATI).
Pada Mei 2023, baginda telah menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Imagining the Future: Climate Change, Health and Food Security in Muslim Societies’ sempena persidangan meja bulat anjuran UTM dan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), University of Oxford, United Kingdom.
Penggerak Daily