JOHOR BAHRU: Kurikulum persekolahan tahun ini tidak akan terjejas walaupun penyusunan semula tarikh persekolahan mula dibuat bagi mengembalikan sesi persekolahan ke Januari, seperti sebelum pandemik Covid-19, pada 2026.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan memberitahu, golongan ibu bapa khususnya tidak perlu berasa bimbang dengan penyusunan semula jadual sesi persekolahan yang dilaksanakan.
Katanya, hal itu kerana jumlah hari persekolahan kekal sama iaitu sebanyak 190 hari.
“Kerajaan telah memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan kepada Januari pada 2026, berbanding bulan Mac yang dilaksanakan sejak tahun lalu susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan memberi jaminan kurikulum kita tidak terjejas, ia akan dilaksanakan seperti biasa cuma tempoh cuti persekolahan yang dipendekkan, hari persekolahan kekal 190 hari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau pembukaan semula sesi persekolahan Kumpulan A di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Mohd. Hanafi Samad.
Tambah Azman, pihaknya telah mengambil kira pandangan semua pihak sebelum melakukan penyusunan semula jadual persekolahan termasuk murid-murid, ibu bapa dan guru-guru.
“Kita berharap dengan usaha yang dibuat ini, sesi persekolahan akan dapat dimulakan seperti sebelum pandemik Covid-19 iaitu pada Januari menjelang 2026,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, Azman turut memaklumkan sesi persekolahan Kumpulan A yang bermula hari ini bagi empat negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu melibatkan seramai lebih 1.44 juta murid dan pelajar.
“Jumlah ini melibatkan murid prasekolah sehingga Tingkatan enam di empat buah negeri tersebut.
“Bagi negeri Johor pula, seramai 602,619 murid dan pelajar sekolah telah memulakan sesi persekolahan mereka, hari ini,” ujarnya.
Penggerak Daily