ISKANDAR PUTERI: Kerajaan persekutuan diminta mengambil tindakan proaktif dalam menambah baik kualiti pendidikan di negara ini, khususnya dengan memperbaharui silibus mata pelajaran sedia ada.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara itu perlu dilaksana segera ekoran terdapat beberapa silibus mata pelajaran yang sudah tidak lagi relevan untuk dipelajari.
“Pendidikan berkualiti adalah perkara yang penting untuk rakyat Johor, ini kerana melalui pendidikan ia akan membuka lebih banyak peluang kepada semua pihak.
“Oleh itu, kerajaan persekutuan perlu lakukan perubahan penting untuk perbaharui silibus mata pelajaran yang sudah tidak relevan lagi.
“Jika perkara itu tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional, biar Johor menjadi negeri pertama untuk mengubah silibus di sekolah-sekolah negeri ini,” titahnya ketika berkenan berucap menyempurnakan Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tunku Mahkota Ismail bertitah agar kerajaan persekutuan menerima hakikat bahawa sistem pendidikan sedia ada telah melahirkan generasi kurang berdaya saing menurut laporan Bank Dunia dan juga skor Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA).
“Jika kita masih tidak dapat terima hakikat seperti yang dilaporkan berhubung kedudukan pelajar kita dalam peperiksaan, maka kita tidak sepatutnya mengeluh sekiranya generasi masa depan kurang berdaya saing berbanding rakan sejagat mereka,” titahnya.
Pada 24 April lalu, satu laporan dikeluarkan Bank Dunia yang menyatakan walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan negara terhadap sektor pendidikan, namun tahap pembelajaran dalam kalangan pelajar tempatan masih ketinggalan.
Sementara itu, baginda turut bertitah berhubung isu gangguan bekalan air yang dilaporkan berlaku di beberapa daerah negeri ini semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri, bulan lalu.
“Saya sangat kecewa baru-baru ini apabila menerima berita terdapat gangguan bekalan air ketika sambutan sedang Hari Raya Aidilfitri. Perkara ini tidak boleh berlaku lagi pada masa akan datang.
“Jika ia terjadi lagi, saya menitahkan kerajaan negeri Johor untuk mengambil tindakan lebih tegas kepada syarikat dan agensi yang terlibat. Saya ingin tegaskan air adalah kedaulatan dan khazanah negeri yang perlu di jaga dan dipelihara dengan penuh tanggungjawab,” titah baginda.
Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu, seramai lebih 1,000 penduduk di beberapa kawasan sekitar Kluang dan Kulai berdepan masalah gangguan bekalan air.
Penggerak Daily