JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang merangka pelbagai inisiatif bagi memperkasa ekosistem penyelidikan negara melalui ‘Consortium Of Academia Industry Government Society For Synergetic Transformation’ (AIMS4STAR).
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Illias berkata, program itu bertujuan untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi kepada industri dan masyarakat.
Jelas beliau, konsortium tersebut mampu meningkatkan ekonomi negara melalui aktiviti perundingan, pengkomersilan, latihan profesional selain meningkatkan penerbitan berimpak melalui dana diberi kerajaan.
“Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Pengajian Tinggi mampu merancakkan lagi peluang penyelidikan di institusi pengajian tinggi negara pada tahun depan.
“UTM menyambut baik peruntukan yang bakal disalur kepada projek penyelidikan berimpak tinggi dalam usaha membentuk budaya kecemerlangan kesarjanaan bagi membantu kerajaan memperkasa komuniti dan masyarakat sekaligus membantu menyelesaikan masalah dan meningkatkan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, inisiatif itu selari dengan aspirasi AIMS4STAR yang turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam mempergiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah mengaplikasi pembaharuan selaras perkembangan sains dan teknologi masa kini.
“Hab Inovasi: Revolusi Industri keempat (IR4.0) dan strategi MyStartup misalnya dapat memperkasa ekosistem penyelidikan negara sekali gus memastikan segala perancangan universiti, selaras dengan usaha mentransformasi teknologi ke arah revolusi industri keempat atau Industry4WRD.
“Usaha itu akan dibuat berdasarkan strategi yang digariskan kerajaan dalam merancakkan pelan penyelidikan negara ke arah lebih transformatif dan bermanfaat,” ujarnya.
Dalam pembentangan Bajet 2022 lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Pengajian Tinggi akan diperuntuk dana sebanyak RM423 juta.
Penggerak Daily