JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraannya telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan RunCloud Sdn. Bhd. untuk menggalakkan kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua pihak dalam bidang teknologi awan.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, MoU itu bakal menterjemah inisiatif pengetahuan akademik dan penyelidikan dilakukan kedua-dua pihak.
“Hasilnya kelak akan membawa banyak manfaat bukan sahaja kepada universiti dan industri, tetapi juga kepada komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung secara atas talian diantara pihak UTM yang berada di Johor Bahru manakala RunCloud berada di Cyberjaya.
UTM diwakili Ahmad Fauzi manakala RunCloud diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Arif Tukiman sambil disaksikan delegasi dari UTM dan RunCloud.
Sementara itu, Muhammad Arif pula memberitahu, mahasiswa perlu cakna teknologi dan menguasai kemahiran pengkomputeran awan sebagai satu sikap dalam diri untuk memajukan diri mereka.
“Kerjasama strategik ini akan membolehkan pertukaran dan perkongsian ilmu, idea dan wawasan kedua-dua pihak dalam usaha mewujudkan kolaboratif akademik, penyelidikan dan kepakaran dalam bidang teknologi awan khasnya dan komputeran amnya.
“Hubungan kerjasama ini juga diharap dapat mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua pihak di peringkat nasional mahupun global,” ujarnya yang juga merupakan alumni UTM.
Penggerak Daily