JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu setiap individu yang layak meneruskan pengajian secara akademik di universiti awam itu dapat berbuat demikian.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, antara inisiatif disediakan termasuklah skim bantuan kewangan dan kebajikan, bantuan sara hidup serta bantuan zakat.
“UTM sentiasa berusaha mewujudkan ekosistem pembelajaran dan kehidupan yang baik buat penuntut. Ini termasuk menyediakan sistem bantuan kewangan kepada penuntut kurang berkemampuan, internet, kemudahan riadah serta harga makanan berpatutan.
“Program Menu Rahmah juga masih diteruskan di UTM. Kami berusaha sebaik mungkin untuk memastikan semua kebajikan penuntut terjaga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Ahmad Fauzi, pihaknya menganggarkan seramai 3,508 penuntut baharu akan mendaftar masuk ke universiti itu bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa untuk sesi akademik bermula 28 September ini.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 3,289 penuntut akan mendaftar di kampus UTM Johor Bahru manakala 219 penuntut lagi di kampus UTM Kuala Lumpur.
“Manakala itu, seramai 1,160 penuntut baharu adalah daripada keluarga B40,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily