JOHOR BAHRU: DAP dan PKR Johor memahami nuansa politik di negeri ini dimana kerajaan negeri terbentuk sebelum wujudnya kerajaan perpaduan peringkat pusat, sebaliknya hanya Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang kerapkali mengungkit soal jawatan.
Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, Amanah Johor juga bersikap seperti kacang lupakan kulit apabila menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang disandang UMNO.
Katanya, sebelum ini UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah berlapang dada membantu kempen calon Amanah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
“Selama ini suasana politik dan pentadbiran Johor berada dalam aman damai dan harmoni selepas PRN dan PRU15 lalu di mana DAP serta PKR menghormati kedudukan pucuk pimpinan kerajaan negeri. Ini kerana dua parti itu faham, kerajaan Johor sekarang ini dibentuk sebelum PRU15 dan sebelum adanya Kerajaan Perpaduan.
“Tapi cuma Amanah Johor sahaja yang cari pasal atau buat hal dengan ungkit mengenai lantikan exco dan jawatan Ketua kampung di Johor.
“Malah Amanah Johor juga kata tiada istilah parti penyandang atau ‘Principle of Incumbency’ kepada 56 kerusi DUN Johor kerana mereka merasakan PH di negeri ini dianggap sebagai pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Abdul Halim, Amanah Johor tidak perlu ‘play victim’ kononnya mereka dianiaya, diketepikan dan dianggap sebagai pembangkang.
“Sepatutnya Amanah Johor ambil sikap dan pendekatan lebih harmoni serta profesional macam DAP dan PKR Johor yang menghormati UMNO-BN di negeri ini.
“Apatah lagi dengan kedudukan Amanah Johor yang serba kekurangan daripada segi ahli dan jentera parti serta hanya mengharapkan undi daripada bukan Melayu saja sedangkan DUN Mahkota merupakan kawasan majoriti Melayu.
“Adakah Amanah Johor sekali lagi nak tunggang jentera kempen UMNO dan tagih undi daripada orang UMNO untuk menangkan mereka lagi. Tepuk dada tanya iman bukannya tanya nafsu.
“Biarlah UMNO dan BN terus kekal bertanding di kerusi tradisi itu. Amanah Johor kena hormat UMNO macam mana UMNO beri laluan kepada mereka sebelum ini,” jelasnya.
Penggerak Daily