JOHOR BAHRU: Tempat duduk Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd. Aziz selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa akan dipindahkan sebaris dengan ADUN Perikatan Nasional (PN).
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kedudukan tersebut akan dibuat bermula Sidang DUN Johor, Khamis ini.
Menurut beliau, keputusan tersebut diambil ekoran kenyataan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abd. Rahman yang menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan selain surat pemakluman Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng.
“Berdasarkan kenyataan media dikeluarkan Presiden Muda dan surat pemakluman oleh Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Keh Eng (Stulang), tempat duduk ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz akan dipindahkan sebaris dengan blok pengimbang PN,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Puad, majlis angkat sumpah ADUN Simpang Jeram baharu, Nazri Abdul Rahman juga akan dilaksanakan Khamis ini.
Dalam pada itu, Kah Eng berkata tindakan mengeluarkan Muda daripada blok pengimbang di negeri ini adalah wajar setelah kedua-dua pihak tidak lagi sehaluan dalam beberapa perkara.
“Disebabkan Muda telah memilih untuk meninggalkan Kerajaan Peraduan dan bersikap tidak mesra dengan Kerajaan Perpaduan, maka secara automatiknya, ADUN Muda di negeri ini bukan lagi berada dalam blok pengimbang.
“Muda telah memilih untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan. Kami amat kecewa dengan sikap parti itu yang sentiasa mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan Kerajaan Perpaduan sejak kebelakangan ini,” katanya.
Tambah Kah Eng, tindakan Muda yang bertentangan dengan PH telah ditunjukkan beberapa kali sebelum ini termasuk meletakkan calon mereka dalam kerusi diwakili calon PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
“Tambah menyedihkan lagi, secara kasarnya Presiden mereka telah melabelkan DAP sebagai ‘lapdog’ kepada pihak lain,” ujarnya yang merupakan ADUN Stulang.
Penggerak Daily