JOHOR BAHRU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan sambutan diterima pihaknya sepanjang minggu pertama tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Beliau yang juga merupakan Presiden PKR itu memberitahu, pergerakan jentera PH dan juga parti itu juga lancar tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.
“Semuanya okay, semuanya baik, sambutan orang ramai juga sangat baik,” katanya ringkas apabila diminta mengulas berhijrah perjalanan kempen PH dan PKR menjelang hari pengundian pada 12 Mac ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengiringi calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, S. Gopalakrishnan dalam progam Santuni dan Sarapan Pagi Bersama Masyarakat Sungai Tiram di sini hari ini.
Sementara itu, Gopalakrishnan yang juga Naib Pengerusi PKR Johor mengakui perbalahannya dengan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini tidak memberi kesan dalam kempen beliau.
Menurutnya, tuduhan Syed Saddiq bahawa beliau tidak mengambil berat kebajikan masyarakat India tidak dibangkitkan langsung oleh pengundi sebaliknya kunjungannya diterima baik masyarakat setempat.
“Isu ini tidak jejaskan usaha saya menyantuni orang ramai semasa berkempen, pengundi tak tanya pun. Sebabnya perkara benar sudah timbul dan perkara yang salah sudah tenggelam,” ujar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram itu.
Pada 5 Februari lalu, Syed Saddiq mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India di pekan Tiram dan mereka membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap Gopalakrishnan yang mendakwa mengabaikan masyarakat India.
Syed Saddiq kemudian memuat naik ‘posting’ berkenaan perkara itu dalam akaun Facebook miliknya sebelum Gopalakrishnan membidas kenyataan tersebut sehingga Ahli Parlimen Muar itu mengeluarkan kenyataan memohon maaf dan memadam posting berkenaan.
Penggerak Daily