JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan bahawa filem biopik yang mengisahkan perjalanan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu kisah benar.
Beliau yang juga merupakan bekas Pengerusi PKR Johor memberitahu, filem tersebut dibuat mengikut fakta yang tepat, terutama babak Anwar dipukul Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor.
Menurut beliau, filem berkenaan dibuat berdasarkan kisah benar kerana beliau turut terlibat dalam gerakan reformasi Anwar setelah dipecat pada September 1998.
“Tohmahan ke atas filem Anwar: The Untold Story sebagai meloyakan tidak sewajarnya berlaku. Cerita tentang Anwar Ibrahim dalam filem itu benar. Bukan direka-reka. Saya dah tonton filem itu.
“Saya tahu cerita dalam filem itu benar kerana turut terlibat dalam gerakan reformasi menyokong bekas Timbalan Presiden UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang dipecat oleh Perdana Menteri ketika itu pada September tahun 1998.
“Dalam lokap nombor 6 di Bukit Aman, Ketua Polis Negara (ketika itu), Tan Sri Abdul Rahim Noor telah menyerang Anwar Ibrahim yang matanya ditutup sehingga cedera pada muka dan mata. Fakta kejadian serangan Ketua Polis Negara terhadap Anwar dalam lokap Bukit Aman adalah benar,” katanya selepas menyaksikan filem berkenaan.
Tambah Hassan, kes serangan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Jenayah Kuala Lumpur dimana mahkamah mendapati Rahim Noor bersalah kerana mencederakan Anwar.
“Kalau fakta yang saya sebut ini salah, saya jemput bekas Ketua Polis Negara saman saya di mahkamah. Jadi, orang ramai jangan menghina hasil kerja seni filem Anwar: The Untold Story tersebut. Filem itu berdasarkan sejarah yang benar.
“Yang memualkan dan meloyakan bukannya filem itu tetapi perilaku kebinatangan pihak berkuasa dan elit berkuasa pada waktu itu yang bertindak zalim terhadap Anwar,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencabar sesiapa sahaja untuk menyamannya di mahkamah sekiranya sejarah tentang kecederaan yang dialami Anwar yang diceritakan dalam filem itu tidak benar.
“Kami aktivis reformasi zaman itu hampir 25 tahun lalu masih bernyawa dan kini menjadi saksi hidup yang mengetahui kezaliman dilakukan oleh regim Perdana Menteri yang keempat itu,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily