JOHOR BAHRU: Belum cukup 24 jam dan belum mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat maklumkan telah menerima lebih daripada 30 permohonan penduduk parlimen tersebut.
Sehubungan itu, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu akan beri perhatian penuh kepada perkara tersebut dan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya.
“Saya telah terima lebih 30 permohonan daripada penduduk kawasan ini dalam masa sehari. Itu tambahan kepada catatan yang dibuat sepanjang tempoh dua minggu berkempen. Majoriti permohonan itu lebih kepada infrastuktur, berkaitan perumahan serta program untuk anak muda dan wanita.
“Sekarang ini kita sudah menghampiri hujung tahun, jadi itu merupakan satu cabaran bagaimana hendak menguruskan permohonan tersebut,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Kesyukuran Rakyat dan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Dewanraya Taman Bukit Indah, di sini hari ini.
Tambah Suhaizan, pihaknya juga berjanji untuk memberi perkhidmatan adil kepada penduduk Parlimen Pulai termasuklah di kawasan yang tidak mengundi beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, semalam.
“InshaAllah saya tidak akan pinggarkan mana-mana pihak walaupun mereka tidak mengundi saya. Sebagai Ahli Parlimen yang dilantik rakyat saya akan berkhidmat untuk negara dan semua rakyat Malaysia akan dapat pembelaan, sama-sama kita bantu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui peranan dimainkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam membentuk karektor dan peribadinya sebagai seorang ahli politik.
“Beliau beri tunjuk ajar kepada saya dalam politik, bukan sahaja di Johor tetapi juga di Malaysia. Semasa dalam didikannya beliau selalu menyebut mahu pegawai-pegawainya untuk mengikut jejak langkah beliau, jadi saya akan cuba memenuhi permintaan itu.
“Kita perlu hargai jasa Allahyarham khususnya melalui inisiatif Payung Rahmah,” jelasnya.
PRK Parlimen Pulai yang berakhir semalam menyaksikan Suhaizan memenangi kerusi itu dengan 48,283 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dengan 29,642 undi manakala calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi pula menerima 528 undi.
Penggerak Daily