JOHOR BAHRU: Mana-mana individu yang menyertai himpunan solidariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya esok tidak menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hal itu kerana Malaysia merupakan sebuah negara demokratik dan bukannya sebuah negara feudal mutlak.
Menurut beliau, hak itu dijamin bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua warganegara berhak berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
“Kenyataan Istana Negara bertarikh 3 Januari hanya mengulangi apa dinyatakan Jabatan Peguam Negara bertarikh 28 Disember 2024. Kenyataan itu menegaskan Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa prerogatif memberi ampun, tunda hukuman dan lega hukum bagi kesalahan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya seperti kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Kenyataan tersebut tidak membatalkan hak rakyat. Perlu dijelaskan undang-undang tertinggi di Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan bukannya dekri atau titah dari Istana Negara. Ini selari dengan prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, di mana kuasa rakyat dan kuasa raja bergerak harmoni dan seimbang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Hassan yang merupakan bekas Pengerusi PKR Johor turut memberitahu, polis sewajarnya menghayati semangat Akta Perhimpunan Aman 2012 dan memahami niat dan tujuan Parlimen pada tahun 2012 menggubal Akta 736 bagi memudahkan rakyat berhimpun selari dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan.
“Kepada sesiapa yang datang berhimpun esok secara aman di Mahkamah Rayuan maka rayakanlah dan nikmatilah hak anda yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi walaupun saya tidak bersetuju dengan himpunan tersebut, ia tidak menafikanhak ahli keluarga Najib Razak dan penyokongnya dari seluruh negara untuk berhimpun dengan aman,” jelasnya.
Penggerak Daily