PASIR GUDANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan siri jelajah untuk mempromosikan sayap baharu parti berkenaan iaitu Sayap Bersekutu Bersatu bagi menarik penyertaan masyarakat bukan Bumiputera.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) Bersatu, Dr. Chong Fat Full berkata, setakat ini sayap berkenaan sudah ditubuhkan di dua negeri iaitu Sabah dan Johor.
“Sayap Bersekutu Bersatu sudah mengadakan perbincangan dua hari lepas dimana kita perlu buat banyak promosi yang bertujuan pertama untuk maklumkan orang ramai bahawa mereka ada pilihan (parti politik) baharu.
“Kedua kita nak orang tahu bahawa Bersatu sudah ada satu sayap baharu, untuk rakyat Malaysia bukan bumiputera, dan itu akan bantu masyarakat lihat parti ini dengan perspektif baharu.
“Bersatu bukan lagi alternatif kepada UMNO atau tempat berkumpulnya bekas ahli UMNO, dia sudah tidak sama. Kita sudah masuk elemen kepelbagaian kaum,” katanya yang juga merupakan Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Pusat dan Ketua Bersekutu Bersatu Johor.
Beliau berkata demikian selepas melawat Projek Aquagro di Kawasan Rukun Tetangga Kota Masai, di sini hari ini.
Tambah Fat Full lagi, setakat ini keahlian untuk sayap berkenaan di Johor adalah seramai 5,000 dan pihaknya komited untuk menambah jumlah keahlian sayap berkenaan pada masa depan.
“Secara rasminya kita sudah tubuhkan sayap di Sabah dan Johor, selepas ini kita akan pergi semua negeri tubuhkan sayap ini, Kedah, Melaka, Pahang, Selangor, wilayah, semua tempat.
“Semasa kita hendak sediakan senarai itu, kita agak berhati-hati kerana mahu memastikan ahli adalah orang akan akan menyokong perjuangan parti dan bukan mudah keluar selepas itu,” ujarnya.
Sementara itu, Fat Full turut memberitahu, pihaknya bercadang untuk menggunakan nama Kesatria sebagai nama rasmi bagi sayap baharu tersebut.
“Ini sesuatu yang belum diumumkan dan belum rasmi, masih cadangan. Kita ada Armada, Srikandi, jadi nama Sayap Bersekutu pelik sikit, jadi ada cadangan untuk menggunakan nama Kesatria.
“Kesatria merupakan perkataan Sanskrit yang membawa maksud pahlawan, tetapi ini kena dapat persetujuan pusat, kita cadangkan dan akan bawa ke mesyuarat MPT Bersatu,” katanya lagi.
Penggerak Daily