ISKANDAR PUTERI: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai perancangan mendalam untuk membangun negeri ini pembangunan belia.
Menurut beliau, bukti komitmen itu dapat dilihat dalam tempoh singkat pentadbiran kerajaan negeri bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.
Katanya, antara program yang direncanakan khusus buat pembangunan belia termasuklah penubuhan pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) dan juga Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC).
“Dalam tempat singkat dan selepas negeri dilanda pandemik Covid-19, kerajaan ini berjaya melaksanakan program SV yang telah membantu mempercepat program vaksinasi bagi seluruh Johor.
“Tidak cukup dengan itu, sukarelawan SV dari seluruh Johor turut digerakkan membantu mangsa banjir bukan sahaja di negeri ini tetapi juga di Selangor dan Pahang.
“Itu belum diambil kira pelaksanaan TMIYC, di Johor Bahru sudah siap dan boleh digunakan dan kemudahan khusus buat belia ini akan diwujudkan di semua daerah seluruh Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi makan tengah hari bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, di Pendas Laut, di sini hari ini.
Sehubungan itu beliau berkata, kesemua inisiatif itu dilaksanakan kerajaan negeri dalam tempoh kurang dua tahun, dan pihaknya mempunyai lebih banyak perancangan pada masa depan.
Tambahnya, rakyat Johor khususnya pengundi boleh melihat dan membandingkan sendiri apakah yang dilaksanakan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) untuk golongan belia di negeri ini sepanjang 22 bulan mereka memerintah.
“Sehubungan itu, saya menyeru anak muda negeri ini untuk memilih kerajaan negeri dan pemimpin yang telah terbukti mempunyai rekod pencapaian cemerlang berbanding hanya memilih mengikut cakap-cakap di media sosial,” ujarnya.
Penggerak Daily