JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor membuktikan gabungan parti itu masih belum berkubur walaupun pelbagai analisis mengatakan sebaliknya khususnya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sehubungan itu berkata, BN negeri-negeri lain perlu mencontohi amalan dilaksanakan di negeri ini khususnya dalam mengketengahkan pemimpin muda.
Katanya, adab ditunjukkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohamad adalah contoh terbaik.
“Tindakan Onn Hafiz yang mengucapkan terima kasih kepada Datuk Hasni membuktikan adab yang diperlukan pemimpin muda dalam menghargai pemimpin terdahulu.
“Tradisi ini semakin jarang dilihat, apabila pemimpin muda hargai pemimpin lama, tradisi hormat pemimpin ini kena ada. Kalau ada adab InshaAllah BN akan terus mantap.
“Perkara ini juga perlu ada di peringkat pusat, cari kelemahan kita dan perbaiki,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan.
Tambah Zambry, kebangkitan BN akan bermula di Johor khususnya dalam PRU akan datang.
“Johor akan sentiasa menjadi rujukan penting kepada UMNO dan BN. Di negeri ini akan bermulanya kebangkitan kerana semangat yang ada dalam kalangan jentera tidak pernah pudar.
“BN Johor buktikan gabungan ini tetap mantap dan kukuh, tahniah kepimpinan Johor yang telah melakukan persiapan dalam menyediakan kepimpinan baharu seperti yang dilihat ketika ini,” jelasnya.
Penggerak Daily