JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor komited untuk mengekalkan kesemua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), dua tahun lalu.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya mahu memastikan momentum kemenangan yang terhasil sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai diteruskan.
Malah katanya, pihaknya berhasrat mendapatkan kemenangan lebih besar dalam PRN Johor akan datang.
“Apa yang boleh dilihat di Johor ini, semangat kekeluargaan BN masih kukuh dan utuh untuk kita terus berjuang di negeri ini. BN telah berdepan pelbagai liku dan cabaran.
“Setelah BN hanya menang 19 kerusi pada PRN 2018, tetapi momentum kebangkitan bermula di PRK Tanjung Piai telah menyaksikan kita menang 40 daripada 56 kerusi DUN Johor, momentum ini perlu diteruskan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan.
Onn Hafiz yang juga merupakan Menteri Besar Johor turut memberitahu, pihaknya telah menggariskan tiga strategi untuk mencapai hasrat tersebut dalam PRN akan datang.
“Pertama, BN perlu mempunyai dasar dan inisiatif yang pro rakyat, kedua, jentera BN perlu sentiasa menyantuni masyarakat akar umbi dan membantu menyelesaikan isu mereka, manakala ketiga, kita perlu ada komunikasi efektif,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan lima resolusi yang telah dipersetujui bersama semua parti komponen BN Johor untuk diangkat ke peringkat BN pusat.
“Resolusi Kesepakatan BN Johor adalah untuk memperkukuh solidariti parti komponen dan Friends of BN; mengeratkan hubungan dengan kerajaan Persekutuan; memperkasa gerak kerja sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16; mengangkat agenda pendidikan Bangsa Johor dan menyuburkan ekonomi negeri,” jelasnya.
Penggerak Daily