JOHOR BAHRU: Saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu mewujudkan rang undang-undang (RUU) pembentukan kerajaan kekal hingga tamat penggal boleh menyebabkan pemerintahan ala diktator dan korup.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sistem tersebut tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia, sebaliknya relevan di negara republik yang mempunyai sistem pilihan raya untuk presiden.
“Malaysia menggunakan sistem demokrasi berparlimen, bukan demokrasi republik seperti di Indonesia, Filipina, Perancis atau Amerika Syarikat yang ada tempoh tetap pilihan raya Presiden mereka.
“Kita mengguna pakai sistem seperti di Parlimen British iaitu sistem demokrasi berdasarkan jumlah kerusi Ahli Parlimen dalam menentukan parti mana yang layak membentuk kerajaan.
“Malaysia tidak ada pilihan raya memilih Perdana Menteri secara langsung seperti dalam sistem memilih Presiden. Jadi saranan Ahmad Zahid itu tidak sesuai di Malaysia,” katanya kepada pemberita.
Sabtu lalu, Ahmad Zahid mencadangkan agar satu RUU diwujudkan bagi mengekalkan pentadbiran kerajaan sehingga tamat penggal.
Cadangan itu susulan dakwaan terdapat gerakan menumbangkan pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Langkah Dubai atau akuan bersumpah (SD).
Beliau yang juga Timbalan Presiden Menteri dilaporkan berkata, RUU itu berupaya menghalang sebarang usaha menumbangkan kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses pilihan raya sekaligus menstabilkan negara.
Mengulas lanjut, Hassan yang juga merupakan bekas Pengerusi PKR Johor turut memberitahu, sekiranya sistem tempoh kerajaan tetap hingga cukup penggal dilaksana secara paksaan, sukar untuk menggantikan kerajaan yang terlibat dalam rasuah.
“Oleh itu, sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sesuai dan relevan dilaksana di Malaysia, apatah lagi telah terbukti sejak lebih 60 tahun negara merdeka.
“Apa yang perlu dipinda adalah Perkara 43(4) supaya dinyatakan dengan jelas secara bertulis bahawa penentuan sama ada Perdana Menteri itu ada majoriti atau tidak hendaklah dibuat dalam Dewan Rakyat melalui sama ada usul percaya dari kerajaan atau usul tidak percaya dari pihak pembangkang.
“Juga perlu dinyatakan bahawa Speaker Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa menolak sebarang usul untuk menentukan legitimasi sokongan terhadap Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau, rakyat negara ini pastinya tidak mahu Dewan Rakyat dan Parlimen Malaysia dikongkong seperti apa yang terjadi kepada UMNO di bawah pentadbiran Ahmad Zahid ketika ini.
Penggerak Daily