JOHOR BAHRU: Isu berhubung pelaksanaan pelarasan subsidi diesel sejak 10 Jun lalu perlu ditangani dengan bijak oleh calon kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Jika itu dapat dilakukan, Naib Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin calon yang diumumkan, Dr. Joohari Ariffin mampu memenangi PRK pada 6 Julai itu.
Katanya, perkara itu perlu agar pengundi faham dan tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak benar pihak pembangkang.
“Saya yakin kita boleh menang walaupun banyak isu di luar sana. Tetapi saya harap jentera penerangan dapat membuat penjelasan tuntas dan padu mengenai pelarasan subsidi diesel.
“Itu antara isu yang akan menjadi tumpuan utama di DUN Sungai Bakap. Jadi jika diberikan penerangan dengan teliti saya yakin pengundi boleh terima dan faham,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau perkembangan Projek Pembinaan Hospital Pasir Gudang di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung.
Tambah Ahmad, pihaknya juga yakin keserasian antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan menjadi kunci kemenangan kepada calon kerajaan Perpaduan dalam PRK berkenaan.
“Selain beliau merupakan seorang ahli akademik dan merupakan anak tempatan, kerjasama mantap antara jentera BN dan PH juga akan membantu kepada kemenangan kami.
“Ini kali ini pertama PKR mengetengahkan calon mereka. Sebelum ini kita telah pun membantu calon daripada Amanah di Pulai dan Simpang Jeram. Kita juga telah menolong calon PH daripada DAP di Kuala Kubu Bharu dan kali ini kita membantu calon PKR,” ujarnya.
Semalam, Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Keadilan, Rafizi Ramli mengumumkan nama calon kerajaan Perpaduan itu.
Anak kelahiran Permatang Pasir itu juga pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan Utara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.
Penggerak Daily