JOHOR BAHRU: Khabar angin akan berlaku kemasukan beramai-ramai ahli UMNO termasuk beberapa nama tokoh besar yang baharu dikenakan tindakan oleh parti itu ke dalam PKR hanyalah spekulasi semata-mata.
Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir sehubungan itu berkata, PKR tidak seharusnya terlibat dengan urusan parti politik lain sebaliknya terus memberikan tumpuan kepada perjuangan reformasi dibawa mereka.
Katanya, sekiranya ada permohonan kemasukan bekas UMNO ke dalam PKR, perkara itu hanya akan dibincangkan setelah dia berlaku.
“Sama ada berlaku kemasukan kalau ada permohonan, itu hanya akan dibincangkan sekiranya ada, sebab ketika ini semuanya spekulasi. Perkara tersebut tidak melibatkan PKR jadi terpulang kepada individu berkenaan kerana itu karier politik mereka.
“Sekiranya ia berlaku, keputusan perlu dibuat secara kolektif dengan mengambil kira keadaan. Tetapi sekali lagi hanyalah spekulasi, jadi bagi saya untuk parti dan akar umbi, fokus kita perlu kekal dan tidak lari daripada prinsip perjuangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kemungkinan terdapat ahli UMNO serta nama-nama besar daripada parti berkenaan berhasrat untuk menyertai PKR ekoran tindakan pemecatan dan penggantungan diumumkan UMNO, semalam.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, di Taman Century, di sini hari ini.
Akmal Nasrullah yang juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru turut memberitahu, sekiranya kemasukan beramai-ramai itu berlaku ia bukanlah kali pertama.
“Mengambil kira ini bukan pertama kali berlaku dalam PKR kerana sebelum ini kita juga pernah terima kemasukan tokoh politik lain, serta gabungan parti, kerana suasana politik itu dinamik dan bersesuaian dengan zaman,” jelasnya.
Semalam, UMNO membuat keputusan untuk memecat Tan Sri Noh Omar Khairy Jamaluddin Abu Bakar atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 lalu.
Manakala, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd. Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian parti selama enam tahun.
Manakala Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad pula digugurkan jawatan selaku Pengerusi UMNO Johor dan tempatnya digantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Penggerak Daily