JOHOR BAHRU: Masyarakat Melayu di negara ini khususnya perlu henti bertelagah akibat kenyataan Tan Sri Lim Kit Siang, sebaliknya fokus kepada melahirkan pemimpin Melayu yang kompeten dan berintegriti.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kenyataan dibuat veteran DAP itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Sehubungan itu katanya, orang Melayu dan beragama Islam tidak perlu berasa risau kerana perlembagaan telah menetapkan garis jelas berkaitan soal Melayu, Islam serta hak semua kaum di negara ini.
“Untuk orang Melayu, isu paling utama adalah mencari jalan melahirkan pemimpin Melayu yang jujur, adil, berintegriti serta mampu melonjakkan ekonomi negara. Malaysia harus bangkit lebih tinggi dan menjadi negara disegani, bukan bertelagah tentang kenyataan Lim Kit Siang.
“Jangan sampai pemimpin Melayu dan Islam berdegar-degar dengan slogan sedangkan negaranya mundur dan papa kedana. Ekonomi merudum, rakyat tidak dilayan dengan adil. Ini hanya memalukan dan mencemarkan nama baik Melayu dan Islam,” katanya.
Sheikh Umar yang juga merupakan Naib Pengerusi DAP Johor turut memberitahu, pandangan Lim Kit Siang hanya suatu penegasan tentang apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan sejak sekian lama.
“Kepada mana-mana pemimpin Melayu yang tersinggung, lebih baik fokus melahirkan pemimpin yang kompeten, berintegriti dan benar-benar mampu mentadbir negara dengan baik serta adil untuk semua.
“Ingatlah pesan Imam Al-Ghazali yang menyebut betapa sebuah kerajaan yang adil walaupun diperintah oleh pemimpin bukan Islam akan mampu bertahan, berbanding kerajaan zalim walau dipimpin oleh orang-orang Islam,” jelasnya lanjut.
Baru-baru ini, Kit Siang mengeluarkan kenyataan kontroversi yang menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri di negeri ini pada masa depan.
Penggerak Daily