KULAI: Perselisihan melibatkan beberapa pemimpin DAP dan juga pemimpin UMNO berhubung isu pensijilan halal tidak akan menjejaskan kerjasama kedua-dua parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching sebaliknya berkata, Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP akan meneruskan kerja-kerja berkempen bagi calon UMNO seperti biasa.
Menurut beliau, berbeza pandangan dalam satu-satu isu walaupun bersama rakan di dalam gabungan adalah perkara biasa.
“Saya faham dalam isu ini (pensijilan halal) mungkin ada pandangan yang berbeza, tetapi ini tidak akan jejaskan kerjasama antara DAP dan UMNO, serta PH dan juga Barisan Nasional (BN).
“Banyak pihak telah luahkan pandangan mereka, saya rasa itu adalah perkara biasa tetapi paling penting apabila pandangan itu diutarakan adalah bagaimana kita menjaga bahasa kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pembukaan Pusat Beli-Belah The Commune di Bandar Indahpura, di sini hari ini. Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Mohd. Fahmi Salam.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut memberitahu, pihaknya telah bersedia untuk menjawab persoalan berhubung isu tersebut apabila dibangkitkan pembangkang semasa kempen PRK DUN Mahkota.
“Memang pembangkang akan mainkan apa-apa isu sahaja, tetapi tidak mengapa kerana itu perkara biasa. Sebaliknya yang penting adalah kita menjelaskan sebarang isu berbangkit kepada rakyat.
“Ini bukanlah perkara yang telah dibuat keputusan oleh jemaah menteri, jadi kita alu-alukan pelbagai pandangan supaya dapat keputusan lebih komprehensif sebelum sebarang ketetapan dibuat,” jelasnya lanjut.
Terdahulu, Teresa yang juga Naib Presiden DAP dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa kerana akan membebankan peniaga.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat semalam sebanyak 28 laporan polis terhadap Teresa berhubung kenyataannya itu telah diterima.
Penggerak Daily