JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pulai baharu, Suhaizan Kayat akui kerjasama erat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi kunci utama kepada kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, malam ini.
Sehubungan itu, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, beliau bersyukur apabila berjaya mengakhiri rekod kekalahan dalam enam pilihan raya sebelum ini.
Menurut beliau, kemenangan dengan majoriti lebih 18,000 itu merupakan satu kemenangan yang meyakinkan buat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau banding majoriti sebelum ini adalah kecil, tetapi peratusan keluar mengundi kurang. Jadi angka ini cukup meyakinkan. Ini gambaran kerjasama dalam kerajaan perpaduan dan ia telah diterima baik oleh masyarakat Johor khususnya.
“Beberapa faktor yang menyumbang kepada peratusan rendah itu termasuklah ini hanya satu PRK, selain hujan lebat yang turun pada sebelah pagi,” katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai pemenang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Turut hadir, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar dan isteri Suhaizan, Dr. Norsham Idris.
Suhaizan yang juga merupakan Naib Pengerusi Amanah Johor turut memberitahu, kemenangan beliau turut membuktikan gelombang Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan sebelum ini tidak berlaku di Johor.
“Kemenangan ini bukti sokongan kuat kepada kita, bukan gelombang PN, di Johor itu tidak berlaku. Perkara ini kita telah terangkan kepada pengundi bahawa kepentingan memilih kestabilan kerajaan demi pembangunan ekonomi negara.
“Ini juga bukanlah undi simpati yang diberikan pengundi, sebaliknya sokongan kepada kerajaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengetepi serangan-serangan dibuat pembangkang terhadap dirinya sepanjang tempoh berkempen dan melihat perkara itu sebagai asam garam dalam politik.
“Perkara ini biasalah dalam politik, pasti akan ada ucapan-ucapan seperti itu. Tetapi saya mahu fokus kepada tugas dan perkara pertama adalah untuk membolehkan peruntukan kepada Parlimen Pulai digunakan kembali buat manfaat rakyat selepas dibekukan sementara,” tambahnya.
Suhaizan yang mula bertanding sejak 2004 tidak pernah memenangi lima kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen yang ditandingi beliau sebelum ini. Antara kerusi DUN yang pernah ditandingi beliau adalah di DUN Kempas, Pulai Sebatang dan Kukup, manakala kerusi Parlimen di Simpang Renggam.
Penggerak Daily