ISKANDAR PUTERI: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin perlu memastikan beliau mempunyai sokongan daripada parti politik diwakilinya terlebih dahulu sebelum layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu penting kerana Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu bertanding atas tiket parti, bukan secara individu.
Gobind bagaimanapun tidak memperkecilkan hasrat dan impian yang dipasang oleh bekas Menteri Kesihatan berkenaan.
“Setiap individu ada impian mereka masing-masing, kalau KJ (Khairy Jamaluddin) ada impian tertentu, maka yang perlu ulas adalah dirinya sendiri dan apakah hala tuju politik yang sedang dimainkan.
“Dia perlu ingat bahawa dia tidak bergerak seorang diri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, dia berada di dalam sebuah parti dan dia umumkan secara terbuka kehendak itu, tetapi persoalannya adakah dia mempunyai sokongan (daripada parti).
“Terdapat ramai individu yang layak untuk menjawat jawatan nombor satu negara itu. Pada saya sesiapapun boleh jadi Perdana Menteri kalau mereka mempunyai sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas ‘walkabout’ calon PH bagi kerusi Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong di Gelang Patah, di sini hari ini.
Pada 9 November lalu, Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat beliau untuk memimpin UMNO dan negara sebagai Perdana Menteri secara terbuka sekiranya diberi mandat oleh wakil rakyat untuk menjadi Ahli Parlimen Sungai Buloh.
Beliau bagaimanapun memberitahu, impian berkenaan bukan dalam waktu segera sebaliknya akan menyokong calon BN Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan beliau boleh menunggu sebelum memimpin parti dan negara.
“Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya di P107 satu hari nanti kita akan pimpin negara Malaysia, insya-Allah dengan sokongan rakan-rakan parti satu hari nanti saya hendak ketuai UMNO dan menjadi Perdana Menteri dan saya kena menang di sini.
“Ini kali pertama saya kata begini tetapi bukanlah sekarang kerana jika kita menang kekanda saya Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri Malaysia, saya umur 46 tahun boleh tunggu lagi tapi jangan lama sangat,” katanya.
Sementara itu, Gobind yang juga merupakan calon PH bagi kerusi Parlimen Damansara turut memberitahu, pihaknya yakin mengekalkan kerusi parlimen berkenaan berdasarkan kepada perkhidmatan yang telah diberi kepada penduduk sebelum ini.
“Itu terpulang kepada pengundi, berdasarkan kempen seminggu lalu saya lihat ramai pihak menunjukkan bahawa mereka, jadi saya serahkan kepada kebijaksanaan pengundi Damansara, terpulang kepada mereka buat keputusan mahu memilih siapa menjadi wakil bawa suara rakyat ke Parlimen.
“Jika saya terpilih, saya akan lakukan tugas itu dengan sebaik mungkin,” tambahnya.
Penggerak Daily