JOHOR BAHRU: Lembaga Pengampunan perlu memberi alasan secara bertulis berkenaan asas kepada pengampunan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkara itu perlu bagi memastikan rakyat negara ini berpuas hati dan tidak mempertikaikan keputusan tersebut malah menghormatinya.
Menurut beliau, adalah tidak menasabah jika Lembaga Pengampunan mengeluarkan kenyataan rasmi hanya dengan sehelai muka surat yang memutuskan hukuman dikurangkan 50 peratus dari 12 tahun penjara kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.
“Lembaga Pengampunan mesti telus dan berani menyatakan alasan mereka membuat keputusan itu pada 29 Januari lalu, keputusan tersebut juga tidak boleh dirayu serta tidak boleh dibicarakan di mahkamah. Ini tidak sama dengan keputusan kerajaan yang boleh dicabar di mahkamah di bawah prosiding Semakan Kehakiman ataupun ‘Judicial Review’.
“Maka, demi keadilan dan ketelusan, 33 juta rakyat Malaysia berhak menuntut Lembaga Pengampunan membentangkan alasan bertulis mereka terhadap keputusan rasmi yang telah diputuskan terhadap permohonan pengampunan Najib,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Hassan, Lembaga Pengampunan tidak boleh mengelak membentangkan alasan keputusan itu secara bertulis.
“Perlu diingat bahawa tidak ada ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan sabitan bersalah dan hukuman 12 tahun penjara beserta denda RM210 juta kepada Najib supaya membentangkan alasan penghakimannya secara bertulis kepada umum untuk disemak dan diteliti rakyat dan masyarakat dunia antarabangsa.
“Tetapi Yang Arif Hakim Mahkamah itu dengan berani, telus dan penuh bertanggungjawab telah membentangkan alasan penghakimannya secara bertulis,” ujarnya.
Hassan turut memberitahu, apabila Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Rayuan Malaysia, maka tiga Hakim Mahkamah Rayuan juga mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa bekas Perdana Menteri itu tetap bersalah dan hukuman dikekalkan iaitu 12 tahun penjara dan RM210 juta denda.
“Hakim-hakim Mahkamah Rayuan dengan penuh kebertanggungjawaban dan telus telah berani membentangkan alasan-alasan penghakiman mereka secara bertulis dan dikemukakan untuk umum.
“Apabila Najib merayu Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan, maka lima hakim Mahkamah Persekutuan selepas mendengar hujah pihak Najib dan juga pihak pendakwa raya telah mengemukakan alasan penghakiman mereka secara lisan dan bertulis bahawa Najib bersalah dan dihukum 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.
“Jadi 33 juta rakyat Malaysia malah dunia antarabangsa berhak untuk meneliti dan menyemak alasan-alasan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib,” katanya.
Hassan yang juga merupakan bekas Pengerusi PKR Johor turut menambah, hal itu perlu dibuat kerana ramai pihak tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan itu.
“Ada yang marah kerana Najib tidak diberi pengampunan penuh, mereka marah kerana Najib masih tidak dibebaskan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan selepas pilihan raya umum 2018 dahulu.
“Ada yang marah kerana hukuman ke atas Najib dikurangkan 50 peratus daripada 12 tahun kepada enam tahun sahaja. Tahun 2028 Najib akan dibebaskan,” katanya sambil memberitahu perkara itu menyebabkan Perdana Menteri ketika ini terpaksa memujuk rakyat supaya menghormati keputusan Lembaga Pengampunan dengan memaklumkan itu kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
“Hujah itu bagaimanapun disangkal sesetengah pihak yang menyatakan bahawa Perdana Menteri jangan cuci tangan dan menyalahkan Yang di-Pertuan Agong kerana dalam soal pengampunan diraja itu, Perdana Menteri atau Kabinet terikat dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, atau Jemaah Menteri atau Menteri yang bertanggungjawab,” tambahnya lagi.
Penggerak Daily