PAGOH: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoal tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang mengumumkan keluar parti itu, hari ini.
Muhyiddin turut mempersoalkan dimana letaknya maruah Mazlan yang menang dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 2018 lalu atas tiket Bersatu ketika itu.
Menurut beliau, tiada keperluan untuk pihaknya bercakap tentang Mazlan kerana kerajaan negeri Johor ketika ini sudah pun dibubarkan.
“Dimana maruah dia dan mengapa dia berkelakuan begini. Mengapa hanya sekarang baharu nak bersuara, atau dia tahu dia tidak akan menjadi calon Bersatu (dalam PRN Johor).
“Dia (Mazlan) mahu sertai UMNO? Adakah dia ingat UMNO akan lantik dia sebagai calon. Berapa ramai orang yang dibawa sekali, dua? Mengapa tidak 200,000 orang,” katanya tanpa berniat untuk mengajuk perkara yang berlaku.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang diadakan di pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini hari ini.
Tambah bekas Perdana Menteri itu, tindakan Mazlan yang juga merupakan bekas Pengerusi Bersatu Johor itu tidak lagi relevan.
“Jika dia melakukan perkara ini (keluar Bersatu) sebelum Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan mungkin keadaan akan menjadi berbeza, tetapi sebaliknya dia buat setelah ia dibubarkan.
“Kenyataan ini bukan bersifat dendam tetapi dia perlu sedar kedudukannya sebagai exco kerajaan negeri Johor adalah kerana tiket Bersatu,” ujarnya.
Terdahulu, Mazlan mengumumkan beliau keluar Bersatu berkuat kuasa serta merta bersama 23 individu lain termasuklah yang memegang jawatan sebagai Ketua cawangan dan Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Tebrau sebelum ini.
Mazlan dilaporkan berkata mereka tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat masa ini namun akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
“Keputusan ini dibuat berdasarkan keperluan mewujudkan kerajaan negeri stabil dan kepimpinan diyakini. Ini kerana dua kegagalan kepimpinan Menteri Besar terdahulu dilihat gagal mentadbir Johor,” katanya.
Penggerak Daily